Petaling Jaya
November 2008
JAM sudah menunjukkan pukul 7.10 malam. Khairul masih belum pulang. Waktu pejabat telah berlalu sejak dua jam yang lalu. Sebentar lagi azan maghrib akan berkumandang. Tidak ada tanda-tanda menunjukkan khairul akan menyudahkan kerja-kerjanya. Masih banyak dokumen perakaunan yang perlu diperiksa dengan teliti sebelum ditandatangani. Jika tidak dia yang akan dipersalahkan andaikata sebarang kesilapan muncul. Sudah seminggu dia pulang ke rumah hanya apabila jam tangannya melewati angka 9.
Bahang mulai terasa meskipun penghawa dingin di pejabatnya masih terpasang. Dia menanggalkan tali leher dan membuka sedikit butang kemeja hingga ke dada. Matanya sedikit pun tidak berganjak dari timbunan dokumen dihadapannya. Sekali-sekala dia memicit-micit bahu dan menggeliat untuk meregangkan badannya. Badannya mulai lenguh.
Tanpa disedari ketekunannya diperhatikan seseorang sejak tadi. Tiba-tiba dia merasakan bahunya disentuh dengan lembut dari belakang. Terasa deru angin yang lembut bertiup di telinganya. Dia mencium bau yang sangat harum namun tidak sedikit pun dia berasa seram.
“Belum habis lagi kerja you?” Terdengar suara seorang wanita separuh berbisik. Dia mengenali pemilik suara itu. Dialah Suzanne, pengarah kretif di CempakaSari Berhad.
“You tak balik lagi?” Khairul pula memulangkan pertanyaan. Dia memusingkan badannya kebelakang. Mengadap Suzanne.
Suzanne menunduk dan merapatkan wajahnya ketelinga khairul. Rapat hingga terasa deru nafas Suzanne membelai helaian rambutnya. Dia sempat memerhatikan Suzanne yang hanya mengenakan blaus tanpa lengan dan kolar yang dibiarkan terbuka hingga menampakkan sebahagian besar dadanya. Rambutnya yang selalunya disanggul dibiarkan lepas.
“Tadi I keluar makan. On my half way home, baru I perasan I left my handphone here.” Dia menjawab dalam gaya berbisik. Gayanya seakan menggoda.
Khairul cepat-cepat memalingkan mukanya ke meja, cuba menyambung kerja-kerjanya yang tertangguh. Dia tahu Suzanne sudah lama menaruh hati dengannya, sejak sebelum dia berkahwin dengan Adrianna lagi. Bahkan dia tahu dalam diam-diam Suzanne cuba menyaingi Adrianna untuk menawan hatinya. Namun akhirnya Adrianna juga yang dikahwininya.
Dia juga seakan memahami mengapa Suzanne meletakkan jawatan sejurus mengetahui dia bakal mengahwini Adrianna, tetapi kembali menjawat jawatan yang sama selepas Adrianna bertukar tempat kerja tidak lama selepas mereka berkahwin.
“Kesian I tengok you kerja sampai malam. You tak penat? I urut you, boleh?” Tanpa menunggu keizinan Khairul, Suzanne terus sahaja mengurut bahu Khairul. Terasa sedikit kelegaan. Ketegangan yang dirasakan sejak tadi mulai mereda sedikit demi sedikit. Dia cuba menikmati urutan Suzanne.
Jemari Suzanne memicit-micit bahunya dengan lembut. Begitu melegakan. Sudah lama tidak dirasakan urutan setenang ini. Seketika dia terlupa tekanan kerja yang sedang dihadapinya. Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal.
Dia berasa begitu selesa. Hampir 5 tahun berlalu sejak kali pertama dia menerima belaian sebegini. Seseorang yang pernah singgah di ruang hatinya. Alangkah indahnya andai Hartini berada disisinya kini. Matanya dipejamkan rapat. Bagai ternampak-nampak bayangan Hartini dihadapannya. Wajah yang cuba dihilangkan dari ingatannya sejak sekian lama. Namun semakin cuba ditangkis, semakin kerinduannya menggunung.
Tanpa disedari pergerakan Suzanne semakin meliar. Dari bahu., jemarinya kini beralih ke pinggang dan dada. Mulutnya sekali-sekala meniup lembut telinga Khairul. Lelaki tu seakan terbuai.
“Hartini…” terpancul nama itu dimulutnya. Perlahan namun dapat didengari.
“Siapa?” Suzanne tiba-tiba berhenti mengurut. Bahu Khairul ditepuk. Keras.
Khairul tersentak. Bayangan Hartini tiba-tiba menghilang. Serta-merta dia membuka mata. Baru tersedar dia masih berada di pejabat.
“Girlfriend baru you?” Khairul hanya membisu. Sekali lagi pertanyaan Suzanne tidak dijawap.
Bunyi deringan telefon seakan memberi ruang untuk Khairul tidak menjawap sebarang pertanyaan dari Suzanne. ‘Adrianna’. Dia membaca nama yang tertera pada skrin telefon bimbitnya sebelum menekan butang ‘answer’.
Suzanne hanya memerhati tatkala Khairul menjawap panggilan telefon. Dia maklum benar siapa yang berada di hujung talian. Wajah Khairul kelihatan terkejut. Sesekali lelaki itu mengganguk. Sejurus mematikan panggilan, Khairul bingkas bangun. Dia mencapai tali leher, blazer dan briefcase. Dokumen yang bertimbun dikemas ala kadar sahaja. Dia melangkah keluar dari pejabat dengan tergesa-gesa.
“Balik dulu. Anak I sakit.” tanpa sempat Suzanne bertanya lagi, Khairul menjawap dan berlalu. Suzanne ditinggalkan keseorangan tanpa sempat berkata apa-apa. Suzanne mencebik. Rancangannya gagal .Buat sekian kalinya Adrianna berjaya menewaskannya. Dia menggenggam penumbuk lalu dilepaskan ke meja. ‘Adrianna!’ Suzanne geram.